
Sejak pertengahan tahun lalu, aku sering menyatakan hasrat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Tugu Peringatan Perang Jepun di Tawau ( Japanese Memorial War & Cemetery Tawau) yang terletak di Tanjung Batu Tengah ini. Setiap kali aku melalui jalan raya di belakang Rejimen 516 Askar Wataniah, Kem Kukusan ini, aku akan bertanya, apa yang ada di dalam kawasan itu, bagaimana prosedur mahu ke situ, siapa yang perlu dijumpa kalau mahu ke situ.
Jawapan yang sama akan aku dengari, kata mereka itu kawasan perkuburan Jepun, ada tugu peringatan di dalamnya, ianya dijaga dan dipelihara oleh seorang penjaga, ada juga mengatakan yang menjaga kawasan itu adalah waris kepada keluarga Jepun di Tawau. Paling sinonim yang aku dengar adalah mereka berasa seram mahu ke kawasan itu kerana menurut mereka ianya “keras”…
Satu hari pada bulan lalu, aku melewati tepi kawasan yang berpagar itu menuju ke rumah seorang teman baruku di sana. Aku memberanikan diri untuk membuka topik mengenai tugu itu untuk mendapatkan maklumat berguna agar aku boleh menamatkan pencarianku mengenai Tugu Peringatan Perang Jepun di Tawau itu. Harapanku musnah apabila teman itu mengatakan dia sendiri tidak pernah ke kawasan itu meskipun dia membesar di kawasan itu. Tidak banyak yang diketahuinya melainkan kisah-kisah menyeramkan yang bagiku, bukan itu nawaituku untuk aku kisahkan.

Hari ini sekembalinya aku dari kegiatan bersosial di luar bersama rakan-rakan akrab, aku menemui khabar bergambar yang menjadi impian pencarianku. Bro Azlan Lauddin Martin yang menjadi rakan berbual untuk perkongsian ilmu sejarah Tawau mendedahkan keberadaan mereka di dalam kawasan Tugu Peringatan Perang Jepun di Tawau ( Japanese Memorial War & Cemetery Tawau) itu. Aku pernah menemuinya dan berbual dengannya dan dia adalah antara admin Discover Tawau.
Setelah berbalas komen dalam Facebook, Bro Azlan bersetuju akan membawa aku ke Tugu Peringatan Perang Jepun di Tawau dan aku sudah memasang niat untuk mahu mengetahui kisah tugu ini, mahu bertemu dengan sumbernya, mahu bercerita untuk memberi penghargaan pada sejarah lalu. Aku sememangnya amat menghormati perjuangan pejuang lalu meskipun versi perjuangan itu berbeza dari buku sejarah kita.
Untuk perhatian, gambar Tugu Peringatan Perang Jepun di Tawau belum aku siarkan untuk tatapan pengunjung blog ini kerana aku belum mendapat kebenaran dari tuan punya gambar. Insyaallah aku akan siarkan bila aku mendapat kebenaran bertulisnya.









Comments
Powered by Facebook Comments