Laa ilaa haillallah Muhammadur Rasulullah
Betapa mulianya
Nabi Muhammad SAW
Sebagai kekasih Allah SWT
Yang dilahirkan
Di atas muka bumi ini
Membawa rahmat di sekian alam
Dan mengajar manusia
Bagaimana cara
Untuk menghampirikan diri
Kepada
Allah Yang Maha Pencipta
Dari sekecil-kecil amalan
Sehingga ke amalan yang paling besar
Iaitu
Dakwah dan Solat
Baru tadi aku bertanya dengan anak buahku tentang pemahamannya mengenai Maulidur Rasul yang kita raikan hari ini. Katanya, maulidur rasul itu adalah sama seperti bahasa sekarang hari kelahiran nabi. Lalu aku bertanya lagi, bila Nabi Muhammad itu dilahirkan. Jawapan mudah dan praktikal aku terima:
Pada zaman dahulu kala,
Pada zaman jahiliyah,
Lahirlah seorang Rasul,
Yang terakhir dan mulia,
Nabi Muhammad namanya,
Siti Aminah ibunya,
Abdullah nama ayahnya,
Madinah tempat tinggalnya.
Setelah dewasa diangkat menjadi Rasul,
Oleh Allah yang kuasa,
Pencipta Alam Semesta
Berikut saya ringkaskan sedikit nota sejarah ringkas yang saya petik dari Blog mannster untuk renungan bersama.
Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Tarikh lahir
Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah)
Tempat lahir
Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
Nama bapa
‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama ibu
Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
Pengasuh pertama
Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
Ibu susu pertama
Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
Ibu susu kedua
Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)
USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.
USIA 6 TAHUN
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah) Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
USIA 20 TAHUN
Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.
USIA 25 TAHUN
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah. Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
USIA 40 TAHUN
Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.
USIA 63 TAHUN
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.



Comments
Powered by Facebook Comments