Suka Duka Ramadhan bersama Datuk Hamisa di Kalabakan

“Terima kasih atas bantuan kerajaan yang cukup bermakna ini,”
“Saya sekeluarga akan dapat menyambut hari raya yang sempurna tahun ini,”

Bergenang air mata Puan Ida Longsi, 43, ketika menerima lawatan dan tinjauan Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat ke tapak projek pembinaan rumahnya di Kg Kalabakan, baru-baru ini.

Puan Ida yang tidak tahan dengan sendunya, tanpa segan silu terus mendakap dan mengucup pipi pemimpin rakyat, Datuk Hamisa sebagai tanda berterima kasih.

“Saya menangis kerana gembira, tahun ini saya akan berhari raya di rumah baru saya ini, terima kasih datuk kerana sudi datang melawat rumah kami yang hampir siap ini,” kata ibu kepada 7 orang anak itu.

Suaminya, Nurdin Hasim, 55, berkata dia juga bersyukur dengan keprihatinan kerajaan dalam membantu keluarganya membina rumah yang selesa.

“Saya bersyukur dengan bantuan ini dan selepas ini dapatlah kami tinggal dengan selesa berbanding kehidupan kami sebelum ini,” katanya.

.

Keluarga Puan Ida dan Nurdin sebelum ini tinggal di rumah yang hampir roboh dan tidak selamat untuk diduduki lagi. Denan pendapatan yang tidak menentu, mereka tidak mampu menyediakan kos membaiki apatah lagi untuk mendirikan sebuah rumah baru. Atas keprihatinan semua pihak, keluarga ini akhirnya menerima sumbangan kerajaan untuk membina rumah yang baru dalam Program Bantuan Rumah (PBR) untuk rakyat termiskin di Kampung Kalabakan.

Datuk Hamisa selaku Ketua Wanita Umno Kalabakan, ketika diminta mengulas bantuan pembinaan rumah oleh kerajaan itu adalah atas keprihatinan pemimpin kepada rakyat.

“Puan Ida dan suaminya, Nurdin adalah mereka yang tersenarai dalam PBR ini. Saya berharap dengan bantuan ini, keluarganya dapat menikmati hidup yang lebih selesa dan sempurna.

“Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, senantiasa prihatin dengan rakyat dan inilah bukti kerajaan kita prihatin dengan masalah serta keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berharap agar keluarga itu menunggu sedikit masa sahaja lagi sehingga rumah mereka siap.

“Setelah ianya siap, yang dijangkakan minggu depan, dapatlah mereka berhari raya di rumah baru mereka ini dan meneruskan hidup dengan lebih selesa,” katanya.

.

Itu adalah kisah duka sebuah keluarga yang dikunjungi Datuk Hamisa sebelum meraikan anak yatim dan pelajar cemerlang PMR dan SPM dalam Majlis Berbuka Bersama Anak Yatim di perkarangan Masjid Al-Muqarrabah Kg Kalabakan.

Dalam majlis itu, Datuk Hamisa memuji semangat kejiranan penduduk kampung Kalabakan yang masih mengamalkan gotong-royong dalam menjayakan apa juga program yang diadakan di sana.

“Saya kagum dengan semangat kejiranan yang masih kekal di kalangan penduduk kampung ini dan semestinyalah amalan sebegini perlu dikekalkan agar permuafakatan dan toleransi diantara penduduk kampung dapat dicapai,” katanya.

Juadah berbuka puasa disediakan secara bergotong-royong termasuklah Datuk Hamisa sendiri turut menyediakan bubur ayam dan nasi kuning sebagai hidangan utama majlis itu.

Adik Hurul Ain Salaman, 9, yang kehilangan bapanya sejak masih bayi lagi melihat kenduri berbuka puasa yang diadakan di kampungnya itu memberinya satu pengertian tersendiri kepadanya.

“Saya jarang dapat berbuka puasa bersama keluarga kerana emak akan balik lewat setiap hari kerana menjual kuih,” kata anak bungsu dalam 6 orang adik beradik.

Hurul Ain yang ditemani rakan-rakan sebaya tidak senang untuk berenggang dengan ibunya. Jauh di sudut hati ibunya, Norainah Abdul Ham, 49, bekiau tersentuh melihat tiga orang anaknya termasuk Hurul Ain menjamu selera berbuka puasa dengan riangnya. Air mata yang berderai dipipi dilapnya apabila mula ditanya mengenai nasib keluarganya.

“Kakak ada 6 orang anak dan bekerja menjual kuih sejak bapa mereka meninggal dunia. Kakak sedih melihat anak-anak kakak membesar tanpa perhatian yang sepenuhnya daripada kakak namun alhamdulillah, mereka semua faham tanggungjawab kakak dalam keluarga,” katanya.

Tiga orang anaknya, Mohd Adirman, Mohd Fikri dan Hurul Ain dipeluknya erat.

“Saya bersyukur dapat angpau raya ini dan mahu beli baju baru untuk berhari raya, selebihnya mahu beli peralatan sekolah,” kata Hurul Ain.

Related Posts with Thumbnails

Komen Rakan FB

comments

Powered by Facebook Comments

Advertisement

No comments.

Leave a Reply

CommentLuv badge