Semporna perlu sempurna.

Memang pahit bila orang luar mengatakan Semporna yang terkenal dengan Pulan Sipadan adalah daerah terkotor di Sabah. Malah lebih sukar diterima lagi apabila yang meluahkan hal itu datangnya dari Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Haji Masidi Manjun berikutan banyak aduan pelancong kepadanya. Namun kenyataan Datuk Masidi adalah jelas dan ikhlas, bagi memperbetulkan keadaan sepertimana yang dikatakannya dalam akhbar New Sabah Times.

Dalam blog ini, aku telah lama menyuarakan rasa tidak puas hati aku dengan keadaan di Semporna dan demikian jugalah pengunjung blog ini.  Dari komen-komen mereka, aku sendiri panas hati menerima komen yang mengatakan Semporna kotor… akhirnya aku sendiri akur dengan kepincangan itu. At least aku sudah mengusulkan perkara ini kepada email PD Semporna. Apa yang menjadi harapanku adalah semoga Semporna menjadi sempurna selayaknya.

Entry mengenai Semporna:

  1. Kisah kereta sapu dan Semporna
  2. Dari KK ke Semporna
  3. Tips bercuti di Semporna

Pada 13 Ogos 2008 aku telah menulis tentang tips untuk bercuti di Semporna (klik untuk baca) dan antara respon yang aku terima adalah:

Berikutan rungutan pengunjung yang memberi komen ini, aku telah bertindak menulis email kepada pegawai daerah yang emailnya aku temui dari laman web Pejabat Daerah Semporna

Ini pula adalah keratan akhbar yang bertujuan memberi teguran membina kepada Pejabat Daerah berkaitan sampah.

Back to update news, satu jawatankuasa bertindak telah dibentuk untuk mengatasi masalah sampah di Semporna.  Keratan akhbar tentang jawatankuasa itu adalah seperti di bawah:

Berikut juga adalah komen dari facebook yang aku anggap membina dan ikhlas.

Semoga dengan teguran membina Datuk Masidi ini, ditambah pula dengan tindakan berkesan selepas ini, tidak hairan Semporna akan menjadi satu destinasi syurga untuk dikunjungi. Semporna akan sempurna dengan adanya sokongan dan kerjasama semua pihak… Ambil yang baik, jernihkan hati mencari kesejahteraan hidup yang damai.

Petikan akhbar Utusan 29 Nov 2010.

Henti debat Semporna kotor – Masidi

KOTA KINABALU 29 Nov. – Semua pihak perlu berhenti berdebat mengenai isu kebersihan Semporna sebaliknya menumpukan usaha meningkatkan tahap kebersihan di daerah tersebut.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, langkah itu penting bagi memastikan masalah kebersihan di daerah berkenaan dapat diatasi segera.

“Daripada kita berbalah mempertikaikan kenyataan tersebut sama ada betul atau tidak, lebih baik kita kerah semua tenaga untuk bekerjasama mengatasi masalah kebersihan di daerah itu.

“Tugas sebagai pemimpin adalah untuk menyelesaikan masalah, bukannya untuk berbalah dalam surat khabar atau pun mengadakan kajian itu dan ini,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, Masidi mengeluarkan kenyataan bahawa Semporna merupakan daerah terkotor di negeri ini.

Kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai pihak seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Harman Mohammad dan Ketua Pemuda UMNO Semporna, Mohd. Azis Jamman yang meminta Masidi menarik balik kenyataan tersebut.

Menurutnya, apa yang penting pada masa ini ialah semua pihak bekerjasama bagi meningkatkan tahap kebersihan bandar Semporna.

Katanya, ia penting bagi memberi imej yang baik kepada pelancong yang sering berkunjung ke daerah itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya sentiasa mengambil berat masalah itu dan merangka tindakan proaktif bagi mengatasinya.

“Saya mengarahkan Setiausaha Tetap Kementerian untuk menyelaras satu mesyuarat yang melibatkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemilik syarikat menyelam bagi membincangkan tindakan perlu untuk memperbaiki tahap kebersihan di daerah itu.

“Saya juga meminta bantuan syarikat pelancongan yang beroperasi di Semporna supaya mengambil langkah meningkatkan tahap kebersihan,” katanya.

Petikan New Sabah Times 30 Nov 2010.

Teguran saya ikhlas: Masidi
30th November, 2010

RANAU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Haji Masidi Manjun berkata, tegurannya berhubung tahap kebersihan pekan Semporna adalah ikhlas serta bertujuan membina.

“Semuanya itu adalah tindak balas atau komen daripada para pelancong yang berkunjung ke pekan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, soal menarik balik kenyataannya ketika sesi soal jawab pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, menyifatkan Semporna sebagai pekan paling kotor di Sabah adalah tidak perlu kerana maksudnya adalah jelas untuk meminta semua pihak khususnya Majlis Daerah Semporna (MDS) agar memastikan pekan itu sentiasa bersih.

“Memandangkan daerah berkenaan adalah salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Sabah memiliki kira-kira 49 pulau yang cantik terutama pulau Sipadan, keindahannya bakal menjadi pudar jika tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk menerokai potensinya bermula dengan kebersihan,” katanya.

“Isu kebersihan di daerah Semporna, tidak melibatkan kementerian tetapi sebaliknya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan……kami bertanggungjawab menarik pelawat. Saya minta maaf sekiranya ada YB atau mana-mana pihak yang kurang senang dengan apa yang saya katakan itu, tetapi kita perlu menerima hakikat ….. dan bukan Semporna sahaja tetapi semua daerah di negeri ini,” tegas Masidi ketika diminta mengulas saranan Ketua pemuda Umno Semporna, Mohd. Azis Haji Jamman, meminta Masidi menarik balik kenyataannya itu (Semporna pekan paling kotor di Sabah).

Masidi yang juga Adun Karanaan, menegaskan semua maklum balas daripada pelancong berhubung kebersihan di mana-mana pekan di negeri ini, harus diterima sebagai tonik untuk menyelesaikan sebarang kekurangan.

“Saya mencadangkan kepada semua jabatan kerajaan dan agensinya termasuk badan-badan sukarela (NGO) di setiap daerah, supaya membentuk satu Jawatankuasa Khas secara bersepadu bagi memantau dan memastikan tahap kebersihan pekan termasuk pulau-pulau peranginan agar sentiasa berada di tahap yang terbaik,” tegas Masidi ketika ditemui selepas merasmikan Jamboree Volkswagen Borneo ( BVJ) 2010 di pekan Ranau Ahad lepas.

Masidi dalam ucapannya, menyifatkan jambori itu sebagai amat penting bukan sahaja mampu memupuk persaudaraan dan perpaduan di kalangan pemilik serta peminat kereta antik ‘Volkswagen’ dari seluruh Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, malah sedikit sebanyak dapat membantu pihak kerajaan dalam memperkenalkan pusat-pusat pelancongan yang ada di Negeri Di Bawah Bayu.

“Saya mengharapkan menerusi program jambori seperti ini akan memberi satu kenangan manis kepada setiap peserta dengan peminat VW, sekaligus dapat menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia di kalangan para pengujung,” jelas Masidi.

Berucap sama ialah, Pegawai Daerah Ranau, Haji Faimin Kamin dan wakil Kelab Volkswagen Kinabalu Sabah, Datuk Gan Poh Tiou.

Sementara sama, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR), Jupirin Haji Ruhimin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Alam Sekitar Sabah, Yabi Yangkat bersama ketua-ketua Jabatan kerajaan Negeri/Persekutuan, NGO dan penduduk setempat menyaksikan 60 kenderaan jenis Volkswagen dipamerkan sepanjang dua hari Jamboree itu melibatkan peserta dari seluruh Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutan Labuan.

Turut diadakan sempena Jambori anjuran bersama, Kelab Volkswagen Kinabalu Sabah, Kementerian Pelancongan Malaysia dengan Majlis Daerah Ranau dan tajaan HI-REV Malaysia, ialah kempen kesedaran kebersihan Pekan Ranau dan program menderma darah untuk tabung darah hospital Ranau.

Related Posts with Thumbnails

Komen Rakan FB

comments

Powered by Facebook Comments

Advertisement

4 Responses to “Semporna perlu sempurna.”

  1. Kreatifbuzz

    Dec 02. 2010

    Setuju! jadi sekurang2nya boleh tingkatkan kewangan negeri Sabah, khususnya semporna itu sendiri.

    Reply

  2. al-Hindi

    Apr 29. 2011

    pada umumnya, Semporna merupakan tempat yang menarik dan unik di pentas pelancongan dan terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya yang dianugerahkan dari maha pencipta, kita amat bersyukurlah dengan keadaannya dan tambah pula Semporna di anugerahkan ramai melahirkan para pemimpin, panglima dan ulama yang cukup di hormati dan disegani pihak lawan ataupun pihak kawan, tetapi bila saya banyak membuat kajian di Semporna arus bangunannya ‘Slow’ dan sekitar pekan begitu kotor ‘penyelenggaran kurang sekali’ ini jelas sekali menampakkan persekitaran pekannya masih dikotori dengan sampah-sampah begitu terbiar tak siapa mahu bertanggungjawab dalam hal ini, saya amat sedih, acah kali saya membuat kajian 10 tahun ke Semporna kedudukannya sekitar masih seperti dulu seolah tak menusik keadaan apa yang berlaku…tak akan kita mengadu kepada pemimpin ataupun YB, kita tahu MDS ada? dikatakan peranan dalam hal ini, tetapi mereka hanya melihat sahaja seolah melepaskan batu ditangga sahaja ‘pandang dan lihat sahaja’ sedangkan mereka tahu Semporna begitu ramai melahirkan pemimpin,panglima dan ulama dimana ilmu yang diterokai selama ini kenapa tidak disesuaikan dengan keadaan itu? boleh dianggap sebagai pendorong untuk mengubah keadaan ini sedangkan Islam itu amat mencintai kebersihan pada alam sekitar, apatah lagi pada diri kita…janganlah bermegah dengan kedudukan yang ada sedangkan persekitaran alam Semporna masih kotor…..saya tak tuduhan sesiapa pun apa yang penting mari kita sesama untuk melihat keadaan apa yang berlaku…..

    Reply

Trackbacks/Pingbacks

  1. Kisah Regatta Lepa-Lepa Semporna 2011 | Puadede.Com - 24/04/2011

    [...] pernah mahu tampil membantu membersihkan imej Semporna lewat satu entryku yang lalu (Ikutinya di SINI) Apa yang aku perhatikan sepanjang keberadaan aku di Semporna semasa Regatta Lepa-Lepa berlangsung, [...]

  2. Kisah Selepas FKAT 2012 | Puadede.Com - 16/02/2012

    [...] ya, ada satu entry lama aku mengenai isu sampah KLIK SINI CommentsPowered by Facebook Comments Tags: kotor, sampah tawau [...]

Leave a Reply

CommentLuv badge