Pokok Tropika Tertinggi Dunia di Taman Bukit Tawau.

Masih ramai yang keliru, sebenarnya Tawau ini unik kerana Taman Bukit Tawau menempatkan satu Pokok tropika tertinggi di dunia dan bukannya pokok yang tertinggi di dunia. Berbekalkan kekeliruan itulah, aku berazam suatu masa nanti akan menjejak pokok tropika tertinggi di dunia ini dan mendedahkannya di blog ini. Akhirnya wishlist aku itu tercapai dan pagi tadi, aku bersama 5 lagi rakan Tawau Bloggers Unity (TBU) masuk hutan simpan Taman Bukit Tawau untuk menjejak lokasi pokok tersebut.

Pokok tropika tertinggi di dunia yang berada di Taman Bukit Tawau ini adalah pokok dari spesis Seraya Kuning Siput (Shorea faquetiana) yang ditemui oleh saintis Amerika Syarikat, Dr Roman Dial bersama dua rakannya pada tahun 2006.  Ketinggian pokok torpika tertinggi di dunia ini ialah 88.32 meter.  Untuk melihat sendiri pokok ini, anda perlu berjalan kaki di dalam hutan sejauh 900 meter yang biasanya akan mengambil masa sejam perjalanan.

Untuk ke sana, anda tidak akan sesat meskipun tiada ranger guide membawa anda kerana Taman Taman Sabah telah menyediakan banyak papan tanda sebagai petunjuk jalan dan jalan yang perlu anda lalui itu selamat. Konteks selamat itu adalah anda selamat dari sebarang ancaman binatang buas apatah lagi denai berduri. Sekiranya anda mahu membawa ranger guide, anda boleh dapatkannya di kaunter pendaftaran dengan sedikit bayaran.

Ini pula kisahku ketika menyertai geng TBU dalam misi menjejak pokok tropika tertinggi di dunia itu. Aku membawa kasut boot lamaku yang sudah 3 tahun lebih tidak dipakai kerana aku tahu perjalanan itu nantinya pastinya berlecak. Berbeza pula dengan yang lain, meskipun tahu mahu masuk hutan, mereka memilih untuk berselipar sahaja termasuklah ketua ekspedisi kami, Sankai. Setelah check-in di kaunter Taman Bukit Tawau, kami pun memulakan ekspedisi kami… semangat berkobar-kobar kerana cabaran misi kami ini sebenarnya telah lama dirancang.

Di tengah perjalanan, aku berasa pening mahu pitam dan muntah. Mujur 5 rakan TBU ini beri sokongan power2, kalau tak, aku memang akan kempunan. Dalam keadaan hujan lebat, di dalam hutan tebal, apa yang ada? Ya, lintah dan cacinglah yang menemani kami. Tergelincir, tersangkut akar kayu dan jatuh bagaikan nangka masak antara pengalaman aku tadi.

..

..

Tidak cukup dengan itu, kaki aku yang luka kesan kasut boot yang aku pakai memaksa aku join the club, berkaki ayam sahaja, cuma bezanya, rakan yang lain tidak berstoking seperti aku. Pernahkah anda menyaksikan pengembaraan hutan tanpa menggunakan kasut mahupun selipar? Itulah rekod yang kami lakukan tadi…

Sesekali buat aktiviti seperti ini amat baik untuk merehatkan fikiran, dapat melihat keindahan alam semulajadi, dapat melarikan tumpuan seketika daripada rutin seharian, dapat mengembara di dalam hutan. Sudah agak terlalu lama aku tidak masuk hutan, seingat aku, ekspedisi di Taman Negara Mulu, Sarawak adalah perjalanan terakhir aku di dalam hutan. Itu 10 tahun yang lalu… hehehe.


Wajah kelaparan selepas misi tamat.

Info Tambahan dari BERNAMA.

Taman Bukit Tawau Bukan Sekadar Destinasi Rekreasi Semulajadi
Oleh Nashir Mansor (6 Ogo 2010)

Pada 2006, saintis dari Amerika Syarikat Dr Roman Dial bersama dua rakannya memanjat sebatang pokok Seraya Kuning Siput (Shorea faquetiana) di Taman Bukit Tawau.

Tujuannya untuk mengetahui setepat yang boleh ketinggian sebenar pokok Hutan Hujan Tropika yang terletak di dalam kawasan hutan simpan berkeluasan kira-kira 28,000 hektar berkenaan.

Dengan meletakkan hujung pita pengukur di bahagian tertinggi pokok Seraya Kuning Siput itu, Dr Dial, seorang profesor Biologi dan Matematik di Alaska Pacific University, akhirnya berjaya merekodkan ketinggian pokok berkenaan iaitu 88.32 meter.

Berdasarkan perjalanannya ke pelbagai kawasan Hutan Hujan Tropika di merata tempat di dunia termasuk Amerika Latin, khususnya Lembah Amazon, beliau mendapati bahawa pokok Seraya Kuning Siput, Taman Bukit Tawau berkenaan merupakan pokok tropika yang tertinggi di dunia.

Selepas berjaya mengukur ketinggian pokok Seraya Kuning Siput berkenaan, dia dan pasukannya terus mencari beberapa spesies pokok tropika lain dan akhirnya, tujuh lagi pokok tropika dengan ketinggian melebihi 80 meter ditemui di sekitar hanya dua kilometer persegi di dalam hutan simpan berkenaan.

Hasil ekspedisi Borneo Dr Dial dan rakan-rakannya untuk merekodkan pokok Hutan Hujan Tropika tertinggi itu dirakamkan dalam majalah National Geographic, keluaran Julai 2006.

HUTAN SIMPAN

Meskipun pokok Seraya Kuning Siput di Taman Bukit Tawau itu cuma di tempat ke-10 berbanding ketinggian spesies pokok lain di dunia namun ia tetap membanggakan kerana pokok ini masih tertinggi di dunia dalam kategori spesies tropika.

Pokok hidup tertinggi di dunia yang berjaya ditemui setakat ini ialah dari spesies pokok ‘redwood’ atau ‘Sequoia sempervirens’ di Hutan Redwood, Taman Negara Redwood di California, Amerika Syarikat, dengan ketinggian 115.55 meter.

Sementara itu, daripada senarai 25 pokok pelbagai spesies tertinggi di dunia yang dikeluarkan pada 2007, didapati 11 pokok daripadanya terdapat di Taman Bukit Tawau dengan kesemuanya mencapai ketinggian melebihi 80 meter.

Pada masa ini, pokok tropika tertinggi di dunia itu menjadi tumpuan setiap pelawat dalam dan luar negara yang datang ke Taman Bukit Tawau malah lawatan boleh dianggap tidak lengkap jika tidak melihat sendiri pokok berkenaan.

KHAZANAH TAWAU

Pokok tropika tertinggi di dunia berkenaan terletak 900 meter dari Stesen Taman Bukit Tawau dan untuk ke sana pengunjung terpaksa mendaki bukit mengikut trek semulajadi yang disediakan pihak pengurusan taman.

Sepanjang perjalanan ke sana, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati udara segar dan nyaman tetapi turut berpeluang menyaksikan kehijauan dan keunikan pelbagai spesies pokok dan tumbuhan lain yang terdapat di dalam taman berkenaan.

Malah, jika ingin melihat sendiri tumbuhan memanjat bersaiz besar sehingga ada sesetengahnnya melebihi saiz peha, berkunjunglah ke Taman Bukit Tawau kerana pokok jenis itu amat mudah disaksikan di sepanjang perjalanan ke lokasi pokok tropika tertinggi di dunia.

Jika bernasib baik, pengunjung juga akan berpeluang menyaksikan lotong merah atau Red Leaf Monkey yang dianggap “mesra” dengan pengunjung kerana sudah terbiasa menerima kehadiran pelawat di situ.

“Kami juga sebenarnya turut terkejut apabila saintis berkenaan memberitahu bahawa kayu tropika tertinggi di dunia berada di tempat kita sendiri. Bagi kita, khazanah ini bagaikan “harta karun” Tawau.

POKOK TROPIKA

“Walaupun beberapa tahun dahulu daerah ini terkenal sebagai daerah pembalakan, namun kita masih menyimpan khazanah yang penting untuk tatapan generasi kita akan datang,” kata Pengurus Taman Bukit Tawau, Ariffin Johari kepada Bernama.

Kemampuan pokok tropika berkenaan mencapai ketinggian sedemikan membuktikan bahawa tanah gunung berapi yang meliputi Taman Bukit Tawau serta persekitaran ekosistem taman berkenaan masih terpelihara dan mesti dilindungi sampai bila-bila.

Menurut Ariffin, pokok tropika berkenaan boleh hidup sehingga 200 tahun namun kelangsungan hayatnya itu juga turut dipengaruhi banyak faktor persekitaran termasuk kestabilan tanah serta ancaman panahan petir ke atas pokok berkenaan.

Katanya pihak pengurusan taman yang terletak di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, akan memelihara kayu berkenaan sebaik mungkin bagi memastikan ia boleh hidup selama yang boleh.

“Itulah satu daripada tugas utama kami di Taman Bukit Tawau ini,” katanya.

BEKALAN AIR

Taman Bukit Tawau yang diwartakan pada tahun 1979 merupakan kawasan tadahan air terpenting dan menjadi punca kepada lima sungai utama di Tawau iaitu Sungai Tawau, Sungai Balung, Sungai Merotai, Sungai Kalumpang dan Sungai Andrassy.

Kedudukan ini menjadikan Taman Bukit Tawau sebagai sumber bekalan air kepada penduduk tiga daerah Pantai Timur Sabah iaitu Tawau, Semporna dan Kunak yang penduduknya mungkin mencecah hampir satu juta orang.

Terdapat tiga gunung di dalam kawasan Taman Bukit Tawau iaitu Gunung Magdalena dengan ketinggian 1,219 meter, Gunung Lucia (1,188.7 m) dan Gunung Maria (1,060.8 m). Pada masa ini, kawasan Gunung Maria dan Gunung Magnalena belum dibuka kepada orang awam manakala Gunung Lucia dalam proses pemmbuatan trek.

“Sebenarnya, kepentingan Taman Bukit Tawau ini, seperti yang masyarakat kita selalu anggap, bukan hanya kerana ia menyimpan pokok tropika tertinggi di dunia tetapi ada keistimewaan lain yang kurang dititik beratkan oleh kita semua.

“Masih ramai kalangan kita kurang kefahaman dan menghargai kedudukan Taman Bukit Tawau yang jaraknya cuma 25 kilometer dari pusat bandar Tawau sebagai penyimpan khazanah pelbagai flora dan fauna yang jarang atau tidak ditemui di hutan-hutan simpan lain,” kata Ariffin.

SPESIES ISTIMEWA

Sebagai contoh katanya, Orkid Telinga Gajah (Phalaenopsis gigantea) yang merupakan spesies orkid yang endemik untuk Borneo dan di Sabah spesies orkid ini cuma boleh dijumpai di Taman Bukit Tawau dan di Tenom.

Begitupun Orkid Telinga Gajah di Taman Bukit Tawau masih unik kerana ada di antaranya mempunyai enam helai daun berbanding tiga atau empat helai daun yang lazimnya dimiliki orkid sejenisnya di tempat lain.

Dalam setahun, Orkid Telinga Gajah atau Orkid Borneo ini cuma berbunga sebanyak dua kali dalam tiga tahun dan bunganya boleh tahan sehingga enam bulan manakala harganya di pasaran boleh mencecah sehingga RM10,000 sepokok.

“Di dalam Taman Bukit Tawau ini, kita wujudkan Taman Botani yang menyimpan kira-kira 200 spesies orkid dan kita ada kira-kira 6,000 koleksi bunga orkid di dalamnya untuk disaksikan pengunjung,” kata Zainuddin Baluat, seorang kakitangan Taman Bukit Tawau.

Selain, koleksi orkid, Taman Botani berkenaan juga menyimpan kira-kira 60 spesies paku pakis termasuk paku pakis gergasi, 43 spesies halia hutan, pelbagai spesies keladi hutan termasuk yang berdaun lebar serta pelbagai spesies pokok herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan pokok gaharu.

Istimewanya, banyak lagi spesies flora di Taman Botani ini belum dikenal pasti namanya dan usaha sedang dibuat untuk menamakannya.

Jadi, berkunjunglah ke Taman Bukit Tawau kerana selain menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi termasuk kawasan sungai untuk mandi manda dan tempat penginapan, pengunjung juga berpeluang menambah pengetahuan mengenai alam semulajadi.

“Kita berharap, melalui kunjungan orang ramai dan pendedahan yang kita berikan mengenai flora dan fauna endemik di sini serta keistimewaan lain yang dimiliki Taman Bukit Tawau seperti air terjun dan kawasan air panas, orang ramai akan menghargai dan menyayangi alam sekitar,” kata Ariffin.

Related Posts with Thumbnails

Komen Rakan FB

comments

Powered by Facebook Comments

Advertisement

15 Responses to “Pokok Tropika Tertinggi Dunia di Taman Bukit Tawau.”

  1. budaini

    Feb 14. 2011

    pengalaman yg tidak dapat d lupakan… memang best….

    Reply

  2. Del Glamiva

    Feb 14. 2011

    Waaaaah bestnya masuk hutan! Kalau siang2 pergi lagi best~

    Reply

  3. SAMiZUL

    Feb 14. 2011

    AsSalam.. Info yang menarik.. Bumi Tawau kaya dengan sumber semula jadi.. Fikir di Banjaran Crocker yang ada pokok tropika tertinggi.. ^^,

    Reply

  4. Sam Mikli

    Feb 14. 2011

    Assalam alaikum

    Tuan Maya

    Oho pokok tertinggi di dunia. Tetapi sayang. Berada pada kedudukan aras laut yang rendah. Jikapun ada pokok bonsai di atas puncak gunung Kinabalu hidup membiak, mungkin itulah pokok tertinggi kedudukannya di dunia dari aras laut.

    Apapun Tawau memang hebat. Pokoknya tinggi-tinggi belaka.

    Maka itu, pokok-pokok biar harus kekal untuk sampai bila-bila. Alam sekitar yang kita ada bukannya kita wariskan kepada generasi seterusnya, tetapi kita “meminjamnya” sebagai “pendahuluan” dari generasi masa hadapan.

    Adieu…

    Reply

    Maya reply on February 14th, 2011 11:51 PM:

    Kata2 kita meminjam hidupan alam sekitar dari generasi akan datang perlu dihebahkan seluasnya agar generasi kita tidak pupus oksigen, tetap kenal yang mana gajah, yang mana kancil.

    Reply

  5. Anthonio

    Feb 15. 2011

    selalu ja hujan akhir2 ni.. jalan ke Pokok tertinggi pn makin lecek hohoho..tp Trail ke pokok tertinngi akan diselenggara semula la.. Di sini jg ranking pacat pling bnyak..amat ssh kpd mereka yg tkut pacat hohohoh

    Reply

  6. Sam Mikli

    Feb 16. 2011

    Assalam alaikum

    Tuan Maya

    Berkenaan dengan pokok. Pokok juga adalah ciptaan Allah SWT. hubungan kita (manusia) dengan pokok berdasarkan prinsip hablum minan nas – hubungan manusia sesama manusia dan alam sekeliling.

    Ini bermakna, pokok-pokok yang ada di atas muka bumi selain untuk kemanfaatan manusia tetapi juga untuk keterjaminan dan keselamatan manusia. Ya-ya-ya, oksigen!

    Seandainya saya ialah Datuk Bandar Tawau, saya akan pastikan pokok-pokok primer atau pokok-pokok “tulang belakang” keseimbangan ekosistem yang ada di Daerah Tawau, akan saya wartakan sebagai Taman Biodiversiti Tropika. Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana tauke atau taikun balak, jika mereka ingin mengaut keuntungan dari pokok-pokok itu!

    Oksigen sudah semakin kurang. Lubang ozon semakin membesar. Tinggal harapan masa hadapan ialah hutan Lembah Amazon. Itupun para saintis menjangkakan tidak akan berkekal lama. Selepas hutan Lembah Amazon pupus, barangkali hutan Daerah Tawau! Mudah-mudahan tidak!

    Jangan Tawau jadi seperti Negara Thai. Beberpa puluh tahun yang dulu, muka bumi Negara Thai “diselimuti” 80% hamparan hutan. Kini hanya tinggal 20%! Boleh jadi penyebabnya ialah ledakan penduduk. Sehingga menyebabkan teori konsentris diamal sebuas-buasnya (teori ini merujuk kepada bagaimana membesarkan bandar). Sekarang Negara Thai, hutannya hutan “bangunan batu.”

    Cadangan saya kepada warga Tawau, Pihak Berkuasa Tempatan terutamanya! dan pihak-pihak yang perihatin terhadap alam sekitar (termasuklah hutan-hutan);

    1. Setiap bayi yang lahir di Hospital Besar Tawau, sebatang pokok perlu ditanam di taman hutan khas. Pokok yang ditanam itu diberi nama sempena nama bayi yang baru lahir. Apabila bayi itu besar kelak, dia akan tahu, ada pokok ditanam yang pokok itu diberi nama; namanya. Dengan secara halus, kita telah mendidik generasi-generasi y dan z betapa pentingnya pokok-pokok dengan kehidupan manusia.

    2. Hutan simpan yang ada di Tawau seperti Hutan Simpanan Membelua, perlu dibesarkan kawasan tadahannya. Ini untuk mengelak daripada berlakunya penebangan pokok yang ada di dalam hutan secara tandem (berurutan) ini kerana “lama-lama jadi bukit, konotasinya “lama-kelamaan menjadi sikit.”

    3. Saya tidak pasti sama ada Tawau memiliki Taman Botani. Sekiranya Tawau memiliki Taman Botani, pokok-pokok yang berusia beratus-ratus tahun lamanya, benihnya boleh ditanam di Taman Botani ini. Ini penting untuk kelansungan spesis-spesis pokok yang ada di Tawau. Di Taman Botani ini, para penyelidik perhutanan, tumbuh-tumbuhan herba, tumbuh-tumbuhan beracun, flora dan fauna, atau apa-apa hidupan unggas yang berkaitan dengan keseimbangan hutan, boleh dijadikan tempat untuk kajian saintifik.

    4. Ajar dan didik tidak sama. Bagaimana pun korelasi Spearman atau Pearson mampu membuktikan bahawa hubungkaitnya “ultra positif,” Tahap 4. Saya berani bertaruh!!! warga muda Tawau, generasi Y dan Z Tawau, perlu diajar dan dididik APA, BAGAIMANA, UNTUK APA, KENAPA, MENGAPA perlunya hutan dan pokok-pokok yang berspesis unik. Badan-Badan NGO perlu memainkan peranan. Begitu juga Pihak Berkuasa Tempatan. Sekolah-sekolah kebangsaan juga.

    Ini penting untuk mengubah set minda masyarakat Tawau untuk jangka masa panjang. Saya akui bahawa, 30% sahaja masyarakat Tawau yang mempunyai set minda yang terdidik dan terpelajar. 70% lagi kurang daripada tahap yang memuaskan. Yang 70% ini kerana, mereka keliru akibat tekanan psikologi. Analoginya begini; Guru memberitahu muridnya; jangan buang sampah di merata-rata tempat. Tetapi di rumah, ibu, bapa, kakak, abang pula buang sampah di merata-rata tempat. Oleh kerana membuang sampah di merata-rata tempat itu mudah, maka murid juga berfikiran mudah. Terlupalah sudah nasihat gurunya di sekolah.

    5. (Ini ditujukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Industri). Tawau memerlukan pembangunan. Sudah semestinya memerlukan kawasan yang besar lagi luas. Antara contoh pembangunan; Kawasan Perindustrian dan Kawasan Perumahan.

    Untuk masa hadapan, pihak-pihak yang terlibat dengan pembangunan Tawau perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk mengurangkan kepenggunaan kawasan tanah yang luas, agar supaya hutan-hutan simpan, hutan-hutan balak, dan sebagainya tidak dijarah semahunya. Saya terfikirkan konsep ini. Konsep 4 R. Reuse, Reduce, Recycle, Rethink. Bagaimana? Bagaimana pula dengan konsep 10 laws of simplicity untuk pembangunan pintar lagi lestari? Bagaimana dengan konsep “minimalist,” “eco-green” dan seumpamanya?

    Kepada tauke-tauke dan taikun-taikun balak yang beragama Islam. Diri saya sendiri yang tidak seberapa ini. Sesiapa sahaja yang bergelar insan, manusia, orang, kita akan ditanya nanti di akhirat kelak. Apakah kita pernah mencacatkan hutan-hutan, pokok-pokok dan apa-apa sahaja yang bermanfaat untuk manusia sehingga mendatangkan bencana dan malapetaka (kekurangan oksigen salah satu daripadanya) kepada manusia-manusia yang tidak berdosa? Sebelum kita berkata-kata, hutan-hutan dan pokok-pokok barangkali akan memberi jawaban untuk kita.

    Tuan Maya, seandainya saya berada di Daerah Tawau, saya teringin sekali untuk memberikan bantuan yang termampu kepada TBU, NGO, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak-pihak yang memerlukan; untuk memelihara dan memulihara hutan-hutan dan pokok-pokok yang nilainya tidak tertakrif–infiniti.

    Adieu…

    Reply

  7. ayie

    Mar 06. 2011

    assalamualaikum…..kelmarin sy dri pokok nie..sygnya pokok 2 da patah…!!! huhuhu…

    Reply

    Maya reply on March 6th, 2011 2:03 PM:

    pokok tertinggi sudah patah?

    Reply

  8. qyan

    Jun 01. 2011

    wow. . . . . . . . .

    Reply

  9. Yayang Chin

    Dec 15. 2011

    hye boleh tumpang tnya apa no telefon Taman Bukit Tawau. lau tau sila sms saya
    014-3748450 (shila) terima kasih

    Reply

  10. Sana

    Jan 31. 2012

    hello awesome post thanks for posting these.
    Sana recently posted..MEHNDI TRAYMy Profile

    Reply

  11. Shack

    Mar 26. 2012

    Mmng best tmpt ni,bru seminggu lepas dtg ke sana..
    Shack recently posted..Kejadian Fenomena Ribut Radiasi SolarMy Profile

    Reply

  12. yusri

    Dec 26. 2012

    salam.. saya nak tanya tentang trail ke pokok besar tu.. selamat ke untuk pengunjung datang ke tempat tu…di tempat tu ada menyediakan tourist guide ke…tolong beri pendapat… saya student buat kajian berkaitan tempat tu..

    Reply

    Maya reply on December 30th, 2012 2:31 AM:

    Waalaikumsalam…

    Saudara Yusri… tempat ni sememangnya selamat untuk dikunjungi, tiada yang perlu dikhuatirkan sebab ianya berada dalam kendalian Taman-taman Sabah… ada ranjer yang berpengetahuan dan boleh memberi guide untuk saudara ke sana.

    Reply

Leave a Reply

CommentLuv badge