Belia perlu kreatif dalam mentransformasikan diri dan kebolehan mereka jika mahu maju dalam perniagaan pertanian, kata Ketua Pemuda UMNO Kalabakan, Mohd Gasing Haji Saling.
Menurutnya, saingan yang ada di pasaran perlu dilihat sebagai cabaran dalam perniagaan dengan mengambil langkah yang lebih berkesan dalam menjana pendapatan.
“Hari ini belia mempunyai pelbagai cabaran dalam perniagaan pertanian. Belia tidak perlu gentar dengan cabaran sebaliknya bersaing dengan pelbagai idea untuk mencipta perubahan yang efektif,” katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Peluang Perniagaan Pertanian Lada Semerah bersama belia di Kampung Kalabakan, dekat sini, kelmarin.
Katanya, kerajaan melalui agensi kerajaan senantiasa prihatin membantu golongan belia terutama sekali dalam sektor pertanian dengan menawarkan pelbagai bentuk bantuan.
“Tidak ada alasan untuk tidak memajukan diri dalam perniagaan pertanian kerana pelbagai agensi kerajaan seperti FAMA, RISDA, Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang di setiap daerah malah bank-bank perdagangan senantiasa memberi kursus, bantuan dan khidmat nasihat,”
“Tawau mempunyai tanah yang subur untuk bercucuk tanam, belia perlu berubah dengan mentransformasikan diri dan minda mereka untuk melibatkan diri dalam pertanian kerana hari ini pertanian adalah perniagaan yang menguntungkan,” tambahnya.
Menurutnya lagi, belia khususnya belia lepasan institusi penganjian tinggi yang bercadang atau sudah melibatkan diri dalam apa sahaja bentuk perniagaan pertanian perlu selalu mencabar kebolehan diri mereka kerana di sekeliling kita senantiasa ada peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia mengingatkan sekiranya belia mahu berjaya mereka perlu keluar dari strategi perniagaan lama, perlu bertindak di luar kota pemikiran biasa.
“Perlu juga diingatkan bahawa perniagaan pertanian ini tidak hanya berhenti selepas hasil dituai sebaliknya memerlukan kreativiti dalam perancangan perniagaan seperti pemasaran dalam skala yang besar,” tambahnya.
Dalam majlis taklimat itu, usahawan produk Sambal Qastury, Syed Abdullah Mohammad, menjelaskan peluang dan potensi tanaman lada semerah serta memberi panduan untuk melibatkan diri dalam sebarang perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
Rombongan turut melawat beberapa tapak tanaman pertanian untuk meninjau permasalahan usaha perniagaan pertanian mereka.
TAWAU, Ahad, 22 April 2012

Mohd Gasing dan Syed Abdullah memberi penerangan kepada belia kampung.

MELAWAT… Mohd Gasing sedang melawat tanaman terung secara fertigasi yang diusahakan belia kampung
Komen Rakan FB
Powered by Facebook Comments





