PERANCANGAN yang singkat, mungkin sekadar dua hingga empat hari sahaja, misinya adalah untuk menjejaki Silimpopon, sebuah bandar lama di Tawau, yang kewujudannya semakin dilupakan, malahan ada yang tidak mengetahui sejarah kewujudannya.
Pagi Ahad (5 Jun 2011) yang tenang, abang Azlan Martin Lauddin menelefonku untuk segera bersiap agar dapat mengikutinya ke Silimpopon dan aku tanyakan dia, adakah perjalanan ini seperti yang dirancang. Ya… dan tidak sampai 30 minit, aku, abang Azlan dan Kamarul berada di dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipandu abang Razali.

Ini adalah kisah bersiri pencarian bandar Silimpopon yang hilang. Untuk beberapa kepentingan, apa yang aku kongsikan di sini adalah sebahagian daripada kisah pengembaraanku bersama rakan-rakan Discover Tawau
Dengan semangat berkobar-kobar, kami memulakan perjalanan seawal jam 7.00 pagi dengan niat mahu melihat sendiri bagaimanakah rupanya bandar Silimpopon yang dikatakan di buku-buku, majalah sebagai sebuah bandar yang hilang. Sepanjang perjalanan dipenuhi dengan sedikit perbincangan ilmiah yang sedikit sebanyak membuka ruang mindaku untuk berfikir dengan input yang diberikan. Tiba di satu persimpangan, kami mula menelusuri jalan asing dan dengan hanya berpandukan lakaran peta, kami menuju ke Silimpopon. Sesat beberapa kali tidak menghalang perjalanan, mujur ada yang sudi menunjukkan jalan termasuklah pekerja-pekerja ladang.
.
Setibanya di gate pertama, kedatangan kami dianggap asing dan pelbagai soalan dipersoalkan. Berkat niat dam keyakinan disertakan susila yang tertib dari tiga rakanku yang lain itu, kami diberi kebenaran masuk. Lebih mengejutkan lagi kesudian Encik Malla yang sudi meluangkan masa dan tenaga untuk menunjukkan kami jalan ke tempat yang dituju. Masa itu kami sudah berlima, sepanjang pemanduan menuju ke destinasi, aku tidak senang duduk, perasaanku mula bercampur-baur, hinggalah satu tahap aku berdiam sahaja semata-mata mahu mencari ketenangan dan membulatkan hajat. Ini kerana sepanjang pengalamanku ke tempat-tempat yang asing, yang sudah lama ditinggalkan, pasti ada sesuatu misteri terkandung di dalamnya.

.
Tiba di destinasi pertama, lokasinya di tengah-tengah ladang kelapa sawit, kami dapat menemui satu terusan sungai yang binaannya amat kukuh. Luas terusan itu lebih kurang 10 meter lebar 10 meter tinggi namun di akhir terusan yang ditemui itu terdapat rekahan besar yang mengakibatkan ianya pecah… mungkin kerana faktor usia atau faktor alam.
Jelas kelihatan jenis besi yang digunakan begitu utuh, jenis adunan simen pun sudah tidak ada ditemui – batu yang dihancurkan + kapur?. Berhampiran terusan itu ada dua bongkahan di kiri dan kanan yang mungkin adalah penanda bagi terusan itu… sayangnya ia sudah pecah dan dalam kedudukan tulisan terbalik. Bila memerengkan kepala untuk membacanya, jelas tertulis diatasnya 18.10.25… adakah ianya 1925 ataupun 1825, ianya misteri.

Selesai mengambil gambar dan rakaman video, kami menuju ke destinasi kedua yang letaknya di tepi hutan. Di sini kami menjejaki satu binaan umpama bangunan besarnya. Malla akhirnya mengalah apabila lokasi yang dimaksudkannya tidak ditemui namun dengan gerak hati dan naluri abang Razali, satu keajaiban berlaku. Dia yang membuka langkah ke satu arah akhirnya membuat Kamarul menjerit untuk menarik perhatian kami. Samar-samar kelihatan sebuah bangunan usang di balik semak samun lalang yang tinggi. Aku mula mengerah memori ingatanku untuk memastikan adakah bangunan ini yang dikisahkan dalam buku Silimpopon A Borneo Coal Mine.

Inilah bangunan sistem pengudaraan yang digunakan oleh Cowie Harbour Coal Company untuk menggerakkan pengudaraan terowong bawah tanah lombong batu arang Silimpopon.
Untuk penemuan selanjutnya, seorang mandor bernama Encik Suparman menyertai kumpulan kami. Penemuan kami yang selanjutnya adalah bunker, sebuah gua atau lubang lombong dan kawasan perkuburan. Jam 11 kami menuju ke gate keluar dan dalam perjalanan kami banyak berbincang dan bertukar-tukar pendapat berdasarkan pembacaan dan usul logika.
Aku akui terlalu banyak yang tidak terjawab melalui penjelajahan kami kali ini kerana aku tahu, Silimpopon tidak akan dapat dilihat dengan hanya sekali kunjungan. Aku mempunyai teori bahawa yang kami temukan hari ini adalah merupakan hanya satu daripada belasan rangkaian pada kegiatan melombong batu arang di Silimpopon.

Ternyata aku masih terlalu kerdil untuk mengenali Silimpopon. Kisah pencarian bandar yang hilang Silimpopon akan tertunda di lain hari. Aku gelisah mengamati setiap gambar yang aku rakamkan, seolah ada banyak kisah yang mahu diceritakan melaluinya. Sekeping gambar miliki banyak kisah…
Akan bersambung di lain masa…









Comments
Powered by Facebook Comments