
MENYUSURI perjalanan berkonvoi sejauh lebih kurang 80 km dari Semporna ke Balung kemudian ke Kampung Inderasabah tidak hambar apa lagi untuk berasa kekok kerana DJ Qayyum dan Brother Nas yang menjadi pasukanku. Iringan muzik rock diselangselikan irama dangdut yang mencuit hati dari corong speaker begitu menyelerakan telingaku yang akhirnya membuai lenaku meskipun cuma seketika. Terima kasih kepada kru TawauFM… aku respek kalian kerana telah menjalankan tugasan dengan penuh dedikasi dan bersemangat meskipun dugaan cuaca yang tidak menentu.
Perjalanan ke destinasi yang hendak dituju berjalan lancar kerana pasukan PDRM yang pengiring kami berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik sekali. Cuma di satu keadaan sahaja, semasa hendak memasuki kampung Inderasabah, jalannya agak kurang baik dengan bonggolnya yang tinggi serta berlubang becak hingga menyukarkan kereta BLM melaluinya. Kami semua berhenti menunggu kereta lain selelsai melalui kawasan itu dan sesampainya sahaja kami di jalan pintu masuk kampung, orang kampung sudah berkumpul menyambut kedatangan kami.

.
Kampung Inderasabah, 10 Mac 2012.
Ketua Kampung Inderasabah, Encik Abit Sulaiman begitu gembira sekali menyambut kedatangan peserta konvoi kerana baginya itu satu penghargaan kepada mereka. Dalam majlis yang sederhana itu juga Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Tawau, YBhg Tuan Ariffin Kassim memaklumkan misi program itu diadakan untuk membuka peluang kepada belia terutamanya belia kampung memanfaatkan peluang pendidikan kedua (second chance educations) yang ditawarkan UITM, KPTM dan banyak lagi. Ini penting untuk mengelakkan belia tercicir untuk melanjutkan pelajaran dan pada masa akan datang program seumpama dirancang akan diteruskan dengan memberi kursus kemahiran dan teknikal. Beliau menasihatkan agar institusi keluarga mempunyai kesedaran tentang pentingnya pendidikan kerana tidak mahu bumiputera akan terus ketinggalan dari aspek pendidikan mahupun ekonomi.
Satu lagi peringatan yang penting dari Ariffin Kassim iaitu:
“Tanpa pelajaran, rakyat akan terus bergantung harap dengan subsidi kerajaan”.
Aktiviti malam di Pentas Kg Inderasih 10 Mac 2012.
Selepas Isyak, semuanya berkumpul di kawasan pentas untuk sesi sembang santai peserta konvoi bersama penduduk kampung dan taklimat misi akademik KPTM dan UiTM. Orang kampung menumpukan perhatian apakah peluang yang ada untuk melanjutkan pelajaran. Di akhir sesi itu, soalan kuiz dijalankan dan ianya mendapat respon yang baik meskipun ada juga beberapa soalan itu aku sendiri tidak tahu jawapannya. Ternyata mereka yang hadir lebih memberi tumpuan berbanding aku.
TawauFM juga tidak ketinggalan menghiburkan orang ramai yang datang ke acara itu dengan hiburan pentas dari program realiti radio, Bintang Bakat Cilik dan Realiti Pilihan TawauFM.

Program anak angkat.
Semua peserta konvoi tidur lena malam itu di rumah keluarga angkat selepas sesi kenal mengenal dengan ahli keluarga angkat masing-masing. Rumah Puan Hajah Nale atau lebih dikenali sebagai tokoh ikan bilis di Inderasabah adalah tempat aku tumpang berteduh untuk malam itu. Melaluinya aku kenali hidupnya sebagai seorang pengusaha ikan bilis, bagaimana susah payah keluarga beliau memulakan perusahaan itu hinggalah ke hari ini. Beliau turut berkongsi masalah denganku mengatakan sudah lebih dua bulan hasil tangkapan ikan bilis di bagang mereka begitu menyedihkan. Katanya kejadian itu pernah berlaku sebelumnya tetapi tidaklah seteruk kali ini. Menurutnya, sekiranya keadaan itu berterusan harga ikan bilis akan melambung mahal di pasaran.

Inderasabah ke UiTM, 11 Mac 2012.
Suasana pagi di Kampung Inderasabah begitu damai dan air laut sedang pasang. Aku duduk di beranda rumah menyaksikan aktiviti pagi penduduk kampung yang rata-rata bekerja sebagai nelayan. Di belakang rumah, suasana riuh rendah dengan aktiviti tawar menawar ikan, bunyi bot nelayan dan kegirangan kanak-kanak berlari-lari di jambatan. Menyedari aku di beranda rumah, anak angkat Puan Hajah Nale turut menemaniku sambil menunggu giliran untuk mandi. Oh kebetulan pagi itu bekalan elektrik terputus dan untuk mandi perlu angkat air dari tangki di luar rumah ke bilik mandi. Selesai sarapan, kami ramai-ramai mengambil gambar kenangan bersama mereka sebelum meneruskan perjalanan konvoi kami ke UiTM Cawangan Tawau di Balung.
.
Selesai taklimat, peserta konvoi mula bergerak sehingga ke Bandar Sri Indah dan kembali semula ke destinasi terakhir di UiTM, Dari pintu masuk sudah keliharan khemah pameran, gerai jualan dan pertunjukan autoshow dari Tawau Club. Acara penutupan disempurnakan Rektor UiTM, Dr Abd Kadir Rosline dan majlis turut diserikan dengan artis Youtube nombor satu Malaysia, Najwa Latif.
Kemunculan Najwa di lokasi membuat pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur terhibur dan tidak senang duduk. Kejayaannya boleh dianggap sebagai remaja yang berinovasi sebab mampu menonjolkan bakatnya menerusi medium internet dengan hanya berbekalkn bakat suara n kreativitinya dlm pnciptaan lagu malar segar. Najwa menyampaikan 4 lagunya, Kosong, Carta Hati, I Love You dan Cinta Muka Buku.

Fakta menarik Konvoi Amal dan Aman TawauFM
- Program ini adalah kali kedua TawauFM anjurkan. Tahun lalu ianya melibatkan perjalanan dari Kg Paris Lahad Datu ke TawauFM.
- Semua Dj yang mengikuti konvoi ini melaporkan secara langsung dari lokasi persinggahan konvoi ini.
- Pengurus Penyiaran, Tuan Ares Arapah diberi pujian oleh pensyarahnya sendiri di majlis penutupan konvoi.
- Setiap kenderaan yang mengikuti konvoi ini mendapat sumbangan Petronas Dagangan Berhad Semporna dengan pengisian minyak hingga tangki penuh.
- KPTM dan UiTM menerima pelajar dengan syarat yang begitu minimum iaitu hanya perlu kredit 3 mata pelajaran dalam SPM.
- Kelab kereta SBC bermaksud Sabah BLM Community. Tau apa itu BLM? BLM adalah kepanjangan bagi kenderaan Buatan Lama Malaysia.
Konvoi Amal dan Aman TawauFM ini mendapat kerjasama:
- Pergerakan Pemuda UMNO Tawau,
- Pergerakan Pemuda UMNOSemporna,
- Polis Diraja Malaysia Tawau,
- Polis Diraja Malaysia Semporna,
- Persatuan Wartawan & Pengamal Media Tawau,
- Tawau Club,
- Sabah BLM Community,
- Petronas Dagangan Berhad Semporna,
- JKK Kampung Inderasabah, Balung,
- Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Semporna,
- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah.

Credit gambar dari TawauFM
Komen Rakan FB
Powered by Facebook Comments





