
Peniaga bazar Ramadan perlu memastikan aspek kebersihan dipatuhi oleh para pengendali premis masing-masing bagi memastikan premis perniagaan mereka tidak diarah tutup oleh pihak berkuasa.
Menurut Ketua Operasi Pegawai Kesihatan Persekitaran Tawau, Rahman Sampe, pihaknya kini menggunakan sistem Risk Best di dalam pemeriksaan (sesebuah premis masih boleh diarah tutup walaupun mendapat markah tinggi semasa pemeriksaan).
“Kebersihan premis bukan satu jaminan yang boleh mengelak perniagaan seseorang peniaga ditutup, sebaliknya mereka perlu memastikan aspek kebersihan dipatuhi secara menyeluruh oleh para pengendali premis terbabit.
“Misalnya, jika terdapat unsur berisiko tinggi di premis jualan berkaitan kesihatan dan kebersihan diri jurujual, pihak kita boleh mengarahkan agar premis itu ditutup,” katanya kepada pemberita di sini.
Sehubungan itu, Rahman mengingatkan para peniaga bazar-bazar Ramadan di sekitar daerah ini supaya sentiasa mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga-peniaga yang melanggar peraturan di bawah Akta Makanan 1983 dan premis yang didapati gagal mematuhi arahan itu boleh ditutup selama 14 hari.
Tambahnya, sebanyak 10 tapak bazar Ramadan telah dikenal-pasti di sekitar daerah ini termasuk gerai-gerai jalanan yang beroperasi sendiri secara terbuka telah dan akan diperiksa oleh pihaknya di sepanjang bulan puasa ini.
“Kita sudah memeriksa 60 gerai di Bazar Ramadan Sabindo dan akan terus memeriksa sejumlah lagi gerai di sini yang belum diperiksa sebelum beralih ke gerai-gerai di tapak bazar lain pula,” katanya.
Berhubung Ops Ramadan membabitkan 33 anggota Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Tawau di Bazar Sabindo yang diketuainya pula, beliau berkata banyak perubahan positif dilakukan oleh peniaga tahun ini.
Rahman percaya perubahan positif terbabit dicapai hasil daripada operasi berterusan pihaknya di sepanjang bulan Ramadan, pemberian khidmat nasihat/pendidikan kesihatan dan kepentingan mendapatkan sijil suntikan pengendali makanan.
Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ismail Mayakob pula berpuas hati dengan pengendalian bazar pada kali ini yang disifatkannya lebih meriah dan memberi pilihan tambahan kepada pengunjung pelbagai kaum dan agama.
Sumber: Utusan Borneo
Komen Rakan FB
Powered by Facebook Comments






Cik Zai
Aug 02. 2012
Bersih tu memang bersih…tapi ada satu yang sangat mengganggu bila berkunjung ke sana…iaitu kewujudan pengemis yang terlalu ramai….
Cik Zai recently posted..TARIKH TAK NGAM CASH OUT DAN JAWAPAN DARI CIK NUFFNANG!
Reply