Musimnya telah tiba, kehangatannya kian terasa, PRU13 menjadi agenda utama program rakyat di sana sini. Sentimen YB turun padang bila sudah dekat pilihanraya menjadi sindiran penyokong parti pembangkang. Yang pro kerajaan pula semakin giat mengukuhkan sokongan rakyat untuk kemenangan yang entah berapa.
Aku sudah melalui tiga PRU dan sudah semestinyalah bahang PRU dapat deriaku rasai. Tapi seperti yang aku jangkakan sebelum ini lagi dalam entry lalu, kehangatan PRU13 kali ini di Tawau lain pukulannya. Kenapa lain?

1. Ledakan sebaran maklumat Media Baru.
Facebook dan blog adalah fenomena baru di Tawau menjelang PRU13. Pengamalnya adalah sebilangan besar penghuni setiap rumah di Tawau, tanpa had usia, jantina ataupun kekangan masa. Sesiapa sahaja boleh mengetahui hebatnya provokasi yang dicanangkan oleh sesiapa sahaja. Yang jeleknya, ada yang berselindung disebalik identiti sebenar yang memang niatnya mahu menegur, berkempen, mahu lempar sembunyi tangan malah mengaibkan pemimpin. Yb-yb sekalian, berhati terbukalah jika anda yang diisukan, bertindak sebijaknya kerana undi ada ditangan rakyat.
2. Belia Agresif Lantang Bersuara.
Belia yang sudah layak mengundi ataupun yang hanya mahu support kawan mempunyai kuasa bersuara yang besar hari ini. Kalau dulu, golongan ini segan, malu, tidak tahu mahu menyalurkan permasalahan, pendapat, keluhan rasa, kebuntuhan kerjaya tapi hari ini golongan ini boleh mendabik dada sambil menaip status mereka di FB, Twitter, berblog. Jalan yang teruk meskipun tidak tahu itu sebenarnya tanah persendirian turut diupload bertujuan mahu segera kerajaan bertindak baikinya.
3.Program bantuan bertali-arus diumumkan.
Amat positif niat kerajaan mahu membantu rakyatnya melalui BR1M, Kedai 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Sara 1Malaysia, PR1Ma dan banyak lagi. Bantuan bertali-arus ini tidak dikendalikan hebahannya secara terperinci yang akhirnya diisukan. Benda percuma, benda yang dimudahkan kerajaan sememangnya mahu dikecapi semua orang namun sebilangan besar orang Tawau tidak mengetahuinya. Bukan sikap tidak peka, namun orang kampung, apa sahajalah kemampuan mereka untuk tampil mendapatkan bantuan itu. Aku tiba-tiba teringat “niat tidak menghalalkan cara” dan nampaknya ada kecatatan dalam pelaksanaan program bantuan ini.
4.Akhbar Media Cetak Tawau.
Aku pernah meminta pendapat mengenai akhbar dan kaitannya dengan pengundi di Tawau. Pakcik driver teksi berpendapat ada isu yang boleh dipercaya tapi tidak kurang juga ada berita yang cuma diterbit kerana mempunyai kepentingan. Dia membelinya bukan untuk cerita kedai kopi tetapi mahu tahu perubahan pemerintahan.
Selamat datang PRU13…
Komen Rakan FB
Powered by Facebook Comments






Sam Mikli
Apr 12. 2012
Assalam alaikum
Tuan Maya dan seluruh Fellow puadede
Parti politik sama ada parti kerajaan yang memerintah – UMNO/BN atau Pakatan oposisi – DAP-PAS-PKR – juga termasuk BEBAS akan berhadapan cabaran sebenar cabaran yakni kehilangan undi.
Secara asas praktik, hilang undi berlaku apabila (1) rakyat tidak mengundi, (2) undi rosak (yang disebabkan oleh manusia atau disebabkan oleh di luar kawalan manusia seperti bencana alam) dan (3) pengundi setia beralih arah (yakni memilih calon alternatif).
Cabaran PRU13 di Tawau ialah (1) dan (2). Faktor X dan Y bagi cabaran (1) dan (2) ini berkait rapat – yakni secara empirikal – dengan keempat-empat faktor yang disebutkan di atas. Namun faktor ke 3: Program bantuan bertali arus diumumkan tidak bersifat mutlak sepenuhnya terutamanya dalam spektrum/ konteks cabaran itu sendiri.
Cabaran (1) dan (2) ini wujud secara dengan sendirinya (bukan sahaja semasa PRU atau PRK tetapi juga dalam keadaan semasa) adalah kerana (a) generasi baru sudah celik “ugly side” politik. Dan (b) Persepsi bahawa ahli politik tidak akan membawa perubahan secara akar umbi terutamanya perubahan sosio-ekonomi.
Apa yang disebutkan di atas adalah antara punca yang menyebabkan calon pilihanraya atau parti politik hilang undi. Ini adalah satu cabaran yang terkadang dilepas pandang oleh kebanyakan ahli politik dan parti politik tanpa mengira doktrin politik seseorang ahli politik itu atau sesebuah parti politik itu.
Namun secara prognosisnya, kedua-dua pihak yakni calon pilihanraya / ahli politik / parti politik dan pihak yang memilih yakni pengundi / rakyat bakal tidak akan mendapat apa-apa melainkan kedua-duanya bergantung kepada diri sendiri untuk maju membangun di dalam persekitaran sosio-ekonomi yang mencabar.
Namun dalam konteks bernegara, politik atau apa-apa terminologi yang seangkatan dengannya masih penting dalam pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua pihak yakni calon pilihanraya / ahli politik / parti politik dan pengundi / rakyat.
Risiko kehilangan undi tetap ada. Risiko ini tidak dapat dibasmi sebagai mana kita membasmi kuman dengan menggunakan antiseptik. Apabila pengundi semakin berpendidikan / berpelajaran, calon pilihanraya / ahli politik / parti politik juga perlu sedemikian. Jika tidak dengan sendirinya undi hilang. Begitu juga dengan sebaliknya.
Namun dalam satu sisi yang lain pula kehilangan undi juga berpunca daripada pengundi itu sendiri yakni tidak dapat membuat keputusan memilih / mengundi secara bijak – berteraskan hati dan akal, akal dan hati. Mungkin ini disebabkan oleh kurang terdidik atau kurang terpelajar. Jikapun terdidik atau terpelajar secara kebarangkalian disebabkan oleh faktor (1) maklumat yang tidak tepat, (2) persepsi, (3) fitnah, (4) perbuatan atau amalan negatif yang menyebabkan seseorang itu tidak memilih calon pilihanraya dengan bijak seperti diberi suapan, rasuah dan sebagainya.
PRU di era ini tidak seperti di era generasi Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn dan Tun Dr. Mahathir. PRU di era ini ialah PRU era “Quid pro quo” (Latin: sesuatu untuk sesuatu). Apabila C menjadi hebat B perlu menjadi hebat lagi. Apabila B telah menjadi hebat A perluh berusaha mengatasi kehebatan B. Dengan ini barulah pemilih / pengundi membuat keputusan untuk memilih.
Adieu dari jauh…
Reply
MundusanBantalan
Apr 22. 2012
Salam semua warga tawau dan puadede follower..
Pada pendapat saya, PRU ke13 ini merupakan BAPAK segala pilhanraya, dimana inilah pilihanraya yang paling sengit yang akan dihadapi oleh kerajaan.. sebagai seorang rakyat biasa, saya dapat rasakan yang kerajaan sekarang ini tengah menghadapi tentangan hebat daripada pihak pembangkang.
Kita boleh saksikan sendiri di internet yang rakyat sedang memberontak kepada kerajaan keatas byk perkara dan masalah yang dihadapi rakyat. Kalau kita lihat dikaca tv1,tv2 dan tv3, Kita hanya akan nampak baik saja semua nya, tetapi di internet suda macam berperang negara kita ini.
Masalah ekonomi dari segi kawalan harga, cukai dan subsidi masih menjadi masalah utama, Masalah perundangan, penguatkuasaan, rasuah dan penyelewengan pun merupakan masalah yang besar yang belum dapat diselesaikan oleh kerajaan. Penyalahgunaan media awam, seperti tv, radio dan akbar patut kerajaan ambil berat masalah ini.
Banyak bukti2 yang tersebar luas di internet yang menunjukkan kelemahan2 kerajaan kini.
Ia suda seperti kelihatan pekung didada yang mana selama ini rakyat tidak sedar dan tidak melihatnya.
Kini rakyat semakin bijak dan buka mata….
Sama-samalah kita bangkit untuk membuat perubahan kepada negara tercinta ini.
Jangan lupa, tanggungjawab rakyat mengamanahkan sesuatu kerajaan untuk memimpin negara kearah yang lebih baik, manakala sesuatu kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat bertanggungjawab memegang amanah ini serta melaksanakan tugasnya sebagai kerajaan.
Sama-samalah kita turun mengundi di PRU-13 ini, kerana inilah tanggungjawab sebagai seorang rakyat.
Reply
bau ketiak
Apr 26. 2012
ini masanya nak mintak ape2 bantuan sebab yang bertanding pasti nak menang, jadi masa ni la perlu minta ape yang patut, lagipun 5 tahun sekali tu.
Reply