1Malaysia

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai -nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.” Dato’ Sri Mohd. Najob bin Tun Jaji Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Gagasan 1Malaysia.
Dua asas utama Gagasan 1Malaysia adalah untuk menyuburkan perpaduan dan membina negara maju.  Gagasan 1Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

Ia bukan satu agenda baru negara yang terpisah daripada agenda kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi kemajuan dan pembangunan yang lebih mampan bagi rakyat dan negara Malaysia.

Dalam erti kata lain, 1Malaysia merupakan satu formula yang akan mempercepatkan lagi proses untuk menjadikan Malaydia sebuah negara maju sepertimana yang dihasratkan melalui Wawasan 2020.

Pengertian ini berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang disasarkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang dikehendaki dalam Gagasan 1Malaysia amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain, iaitu apabila identiti etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama.

Sebaliknya Gagasan 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1Malauysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, dengan satu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar semua rakyat dapat hidup bersama dalam keadaan saling menghormati dalam sebuah negara.

Asas perpaduan ialah prinsip keadilan untik semua kaum, yang membawa maksud nasib semua kaum akan terbela dan tiada pihak yang akan dipinggirkan.  Dalam konteks ini, keadilan mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum yang berada pada tahap yang berbeza.  Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

Gagasan 1Malaysia ialah penerusan agenda membina negara.  Prasyarat untuk membina negara ialah perpaduan.  Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.  Ertinya pendidikan dapat dimajukan, ekonomi dapat dipacu, kebajikan rakyat dapat dipenuhi dan hasilnya terciptalah sebuah negara yang kuat dan maju.

Tagline 1Malaysia
“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”

Ini ialah komitmen atau janji kerajaan kepada rakyat bahawa dalam pelaksanaan program dan projek-projek di bawah Gagasan 1Malaysia, rakyat harus didahulukan.  Rakyat didahulukan bermakna suara mereka didengari, kebajikan mereka dititikberatkan, rakyat mendapat khidmat terbaik serta diberi layanan mesra, dan natijahnya ialah rakyat berasa mudah, selesa, dihargai dihormati, terjamin, selamat, mendapat keadilan dan seterusnya bangga serta bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

Bagi memastikan kejayaan objektif tersebut, maka semua pihak harus bekerja kuat berasaskan strategi Pencapaian Diutamakan.

Pencapaian Diutamakan bermaksud perkhidmatan yang diberi oleh kerajaan dan semua pihak kepada rakyat hendaklah berada pada tahap kualiti yang optimum dan terbaik.  Oleh itu, agensi pelaksana hendaklah memastikan hasil kerja memberi manfaat kepada rakyat, mengutamakan outcome berbanding output, sentiasa berfikir yang terbaik untuk rakyat dan berfikir secara kreatif dan inovatif bagi memastikan rakyat mendapat kepuasan.